Aizat Sharif

Kangar: Kerajaan negeri Perlis belum berhasrat untuk membeli vaksin Covid-19 sebagai tambahan untuk kegunaan rakyat di negeri itu.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, tiada perancangan oleh kerajaan negeri untuk membeli vaksin seperti yang dilakukan oleh beberapa negeri seperti Perak, Sarawak dan Selangor.

"Pada masa ini, bekalan vaksin Covid-19 di negeri ini mencukupi dan mengikut jadual.

"Kita tiada masalah dalam bekalan vaksin di sini," katanya pada sidang media penganjuran Pesta Angin Timur 2021@Online di sini, hari ini.

Semalam, kerajaan negeri Perak dilaporkan akan mempertimbang dan melihat keperluan untuk membeli vaksin Covid-19 seperti yang dilakukan beberapa negeri lain.

Dalam perkembangan yang sama, Azlan berkata, penggunaan katil pesakit Covid-19 di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar juga belum mencapai tahap kritikal seperti di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Sekiranya kes Covid-19 semakin meningkat berkemungkinan kita akan menghadapi masalah yang sama seperti negeri lain dan disebabkan itu jugalah kita terus mengharapkan rakyat Perlis terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan.

"Alhamdulillah, walaupun kes Covid-19 di meningkat dengan ketara setiap hari tetapi di Perlis masih terkawal.

Sementara itu, Pesta Angin Timur 2021@Online akan diadakan bermula 4 hingga 6 Jun depan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Perlis dan ia julung kali diadakan secara dalam talian.

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/05/708065/perlis-belum-berhasrat-beli-vaksin